KPTM sasar 35 peratus penuntut capai CGPA 3.5

JERANTUT 21 Mac – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menyasarkan sebanyak 35 peratus penuntutnya di seluruh negara mendapat keputusan cemerlang de­ngan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 pada peringkat pengajian diploma.

Pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris berkata, sasaran itu antara strategi KPTM untuk mening­katkan taraf akademik kolej berkenaan bagi bersaing dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Katanya, langkah itu juga perangsang kepada tenaga pe­ngajar akademik di sembilan buah KPTM yang beroperasi di beberapa buah negeri untuk mengambil langkah yang drastik supaya penuntutnya memperoleh CGPA 3.5.

“Sasaran pencapaian CGPA 3.5 ini antara usaha penambahbaikan bidang akademik yang merupakan misi pengurusan KPTM dalam tempoh dua tahun ini.

“Langkah secara berperingkat ini juga untuk menaikkan imej KPTM sekali gus melahirkan ramai lepasan kolej yang berjaya dan mendapat kerja,” katanya kepada pemberita selepas sesi percambahan fikiran antara pengarah kolej dan mesyuarat pengurusan KPTM di Taman Negara Kuala Tahan, di sini kelmarin.

Sempena program itu, pihak pengurusan KPTM melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program KPTM Sehati Sejiwa bersama 69 keluarga miskin di Kampung Pagi, Hulu Tembeling dan turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai.

Ahmad Nazlan berkata, sasaran itu antara perkara yang perlu dipikul oleh semua pengarah cawangan dan pihak pengurusan semasa sesi percambahan fikiran dan merangka hala tuju akademik KPTM menjelang 2020.

“Komitmen semua pengarah dan pihak pengurusan diperlukan untuk mengubah landskap akademik serta berupaya melahirkan ramai tenaga profesional dalam bidang tertentu,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan KPTM juga sudah mengambil langkah yang tepat iaitu memfokuskan usaha berjimat cermat dalam semua bidang pe­ngurusan dan pada masa sama menitikberatkan hal kebajikan penuntut.

“Perbelanjaan yang kurang sesuai perlu dipotong termasuk mengurangkan belanja perjalanan menggunakan kapal terbang dan hospitaliti dalam kalangan warga KPTM ketika mengikuti mesyuarat, seminar dan sebagainya.

“KPTM bagaimanapun tetap meneruskan pembukaan kampus baharu di beberapa negeri iaitu kampus KPTM di Bera (Pahang), Semporna (Sabah), Batu Pahat (Johor) manakala Jerantut (Pahang) masih dalam perancangan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kptm-sasar-35-peratus-penuntut-capai-cgpa-3-5-1.203139#ixzz4kiE7C4Jq

 

Kolej Poly-Tech MARA kerjasama DBS, Ireland

Pelajar Kolej Poly-Tech Mara memperoleh banyak manfaat melalui kerjasama dengan Dublin Business School, Ireland.

Pelajar Kolej Poly-Tech Mara memperoleh banyak manfaat melalui kerjasama dengan Dublin Business School, Ireland.[/caption]

Bachelor of Arts (Honours) in Accounting and Finance (BAAF) merupakan program kerjasama antara Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) dan Dublin Business School (DBS), Ireland, iaitu satu-satunya program transnasional yang dijalankan di luar Ireland yang mendapat kelulusan 
dan pengiktirafan daripada Quality and Qualifications
 Ireland (QQI).

Program BAAF turut mendapat akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Program BAAF ini telah dijalankan selama dua tahun di KPTM Bangi bermula pada September 2014 dan bakal membuat pengambilan ketiganya pada September 2016 akan datang.

 

BAAF merupakan salah satu laluan untuk pelajar mendapat kelayakan profesional daripada Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di mana program ini telah mendapat pengecualian sembilan daripada 14 kertas ACCA. Graduan program BAAF ini hanya perlu mengambil baki lima kertas ACCA sahaja lagi bagi melengkapkan kelayakan akademik profesional ACCA mereka.

Pemilihan KPTM Bangi oleh DBS untuk menjalankan program BAAF di Malaysia 
sejak September 2014 adalah selaras dengan status KPTM Bangi sebagai kampus utama bagi jurusan Pengurusan Perniagaan dan Perakaunan KPTM. Mendapat lima Bintang dalam penarafan MyQuest 2014/2015 oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, membuktikan bahawa kredibiliti KPTM Bangi sebagai pengendali pendidikan tinggi yang berkualiti tidak dapat disangkal lagi.

Pensyarah yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan program BAAF terdiri daripada mereka yang berkelayakan dan berpengalaman yang turut diiktiraf mengikut piawaian panel penilai DBS di Ireland. Sistem yang dikenali sebagai pair lecturing turut diperkenalkan, iaitu pensyarah KPTM Bangi dan pensyarah dari DBS Ireland yang berpengalaman luas dalam bidang akademik dan industri akan sama-sama bertanggungjawab memberikan kuliah mengikut jadual yang ditetapkan.

Komitmen dan dedikasi tinggi bukan sahaja diberikan oleh pensyarah tetapi seluruh warga kerja KPTM Bangi untuk memastikan kualiti pendidikan terbaik dapat diberikan sepanjang pelaksanaan program ini.

Bagi menjamin kualiti pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran selari seperti mana yang dijalankan di DBS, pemantauan berterusan dibuat oleh Pengurus Program BAAF, DBS yang ditempatkan sepenuh masa di KPTM Bangi.

Modul untuk program BAAF menggunakan sepenuhnya sukatan pelajaran, standard dan penilaian yang disediakan oleh DBS di Ireland. Penggunaan e-learning melalui sistem 
Moodle dan DBS-Library memberikan akses kepada pengetahuan dan maklumat terkini berkaitan bidang perakaunan dan kewangan hanya di hujung jari.

Selain itu struktur program turut dilengkapkan dengan modul pembangunan pelajar dalam kemahiran kerjaya, dikenali sebagai Employability Pillars bagi memastikan graduan daripada program BAAF ini bersedia untuk memasuki alam pekerjaan. Untuk menghasilkan pelajar yang holistik, pelajar juga diberikan nilai tambah melalui penyertaan mereka dalam aktiviti dan program anjuran Kelab BAAF termasuk kemahiran perisian perakaunan, projek inovasi, kem penguasaan Bahasa Inggeris, kem kepimpinan dan bakti siswa.

Mengikuti pengajian dalam bidang perakaunan dan kewangan memberi peluang kepada pelajar untuk turut dilatih dalam kemahiran pengurusan perniagaan. Pengetahuan yang sangat berharga melalui kelayakan yang diperoleh membolehkan pelajar mempunyai kelebihan daya saing dalam alam pekerjaan serta peluang bekerja di syarikat antarabangsa melalui kerjaya sebagai Akauntan, Juruaudit, Penganalisis Kewangan, Perunding dan Perancang Kewangan.

Keputusan peperiksaan sesi September 2015/2016 telah mencatatkan 99 peratus kelulusan daripada 264 orang pelajar. Seramai 133 orang graduan sulung BAAF akan dianugerahkan ijazah oleh QQI pada Majlis Konvokesyen KPTM ke-33 pada bulan Oktober akan datang dengan 14 peratus mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama dan 41 peratus mendapat Kelas Kedua Tertinggi.

KPTM bakal menjalinkan kerjasama bersama ACCA Malaysia bagi membolehkan pelajar berpeluang mengambil kertas ACCA semasa pengajian di peringkat Ijazah melalui Program ACCA Accelerate berserta insentif lain yang diberikan ACCA.

Permohonan dalam talian untuk kemasukan sesi Januari 2017 kini dibuka. Mohon di www.permohonankptm.com. Jangan lepaskan peluang untuk merealisasikan impian kerjaya anda. Jumpa anda di KPTM Bangi!

Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/kolej-poly-tech-mara-kerjasama-dbs-ireland-1.376863#ixzz4kiEixV9y

 

 

 

Pelajar KUPTMKL kedua terbaik CAT Paper World Prize

AHMAD NAZLAN IDRIS (kanan) menyampaikan anugerah kepada Siti Nur Nadhirah Rusli dalam majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 10 Mac – Seorang pelajar Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTMKL) menerima anugerah kedua terbaik dunia iaitu 2nd Top Scorer CAT Paper World Prize Winner menerusi peperiksaan Asasi Dalam Urus Niaga Perniagaan sesi Disember 2015.
Pelajar yang mengikuti jurusan Certified Accounting Technician (CAT) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di KUPTMKL itu, Siti Nur Nadhirah Rusli, 19, menekankan aspek disiplin sebagai faktor utama kejayaannya.
“Bagi saya, mengulang kaji pelajaran pada saat akhir itu merupakan suatu perkara biasa. Bagaimanapun, sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya pasti akan disiapkan termasuk menghadiri setiap kelas mengikut jadual.
“Ditambah pula dengan sistem pembelajaran yang sistematik dan memberi tumpuan dalam kelas adalah sangat penting, selain memahami perkara yang disampaikan oleh pensyarah supaya mendapat teknik menjawab soalan dengan tepat,” katanya.
Siti Nur Nadhirah ditemui selepas majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa KUPTMKL yang dirasmikan oleh Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Ahmad Nazlan Idris di sini hari ini.
Sementara itu, anak kelahiran Besut, Terengganu tersebut lebih cenderung untuk mendalami ilmu perakaunan kerana latar belakang keluarganya yang rata-rata daripada mereka terlibat dalam bidang tersebut, termasuk bapanya yang bekerja di sebuah institusi kewa­ngan.
“Saya juga bercita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah dan berharap dapat membuka sebuah firma persendirian pada suatu hari nanti bagi mencapai matlamat yang diimpikan itu,” jelasnya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk menyambung pengajian di luar negara dan harus berusaha lebih gigih lagi kerana hanya beberapa universiti terkemuka sahaja yang menawarkan jurusan ACCA.
“Setakat ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk ke universiti tertentu, tetapi meletakkan harapan supaya dapat menyambung pengajian ke luar negara kerana pengalaman itu amat bermakna dan segala-galanya bagi saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Nazlan berkata, kejayaan Siti Nur Nadhirah itu sekali lagi membuktikan kemampuan KPTM dalam melahirkan graduan cemerlang setanding dengan pelajar antarabangsa.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelajar-kuptmkl-kedua-terbaik-cat-paper-world-prize-1.199379

KPTM jamin kebolehpasaran graduan

PADA masa sekarang, peluang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dengan kewujudan pelbagai pusat pengajian tinggi termasuk universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang diasaskan sebagai sebuah IPTS pada September 2003 antara lain menawarkan program pendidikan bagi membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk meneruskan pe­ngajian ke peringkat lebih tinggi.

Penubuhan KPTM sekali gus membuka ruang kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk berjaya dalam bidang akademik dan seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti kepada negara.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, NOR IDAYU BOSRO bersama Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Prof. Datuk Dr. Sabarudin Mohd. di ibu pejabat Kolej Poly-Tech Mara, baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Datuk jelaskan secara ringkas mengenai latar belakang KPTM dan golongan pelajar yang menjadi sasaran?

SABARUDIN: KPTM pada asalnya dikenali sebagai Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) dan diasaskan sebagai sebuah IPTS di bawah Akta Ins­titusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) pada tahun 2003. KPTM di­uruskan oleh Kolej Poly-Tech Mara Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Sejak penubuhannya, KPTM telah melahirkan lebih 34,000 orang graduan dan kini memiliki seramai 16,000 pelajar di sembilan kampusnya termasuk di Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan Semporna, Sabah.

Kumpulan sasaran KPTM sememangnya pelajar yang majori­tinya terdiri daripada lepasan SPM dan STPM untuk melanjutkan pengajian dan mendapat tempat di institut pendi­dikan tinggi. Selain itu, kita juga menyediakan laluan kepada pelajar yang memiliki sijil kemahiran daripada institusi pengajian yang diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat le­bih tinggi. KPTM turut menyasarkan go­longan pelajar luar bandar terutamanya daripada keluarga kumpulan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Bagaimana KPTM menongkah arus untuk menjadi antara IPTS Bumiputera terbesar di Malaysia? Apakah pembaharuan dan nilai tambah yang diketengahkan KPTM demi kelangsungan kejayaan ini?

KPTM sentiasa menyokong aspirasi pendidikan negara selain proaktif menyertai program pendidikan berpaksikan saranan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar melestarikan pendi­dikan di setiap pelosok negara dan memudahkan capaian masyarakat terutama di luar bandar. Dari segi nilai tambah, KPTM menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada pelajar antaranya Tabung Wakaf yang akan dilancarkan selewat-lewatnya bulan Julai depan sebagai saluran untuk orang ramai menyampaikan sumbangan bagi membantu pelajar kolej ini yang tidak berkemam­puan untuk meneruskan pengajian.

Ketika ini, kami masih me­nunggu kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Perseku­tuan untuk merealisasikan inisiatif tersebut. Sebagai permulaan, sejumlah geran suntikan dalam bentuk sumbangan daripada syarikat akan mengisi tabung ini dan bagi memastikan kelangsungannya, orang ramai sama ada kakitangan, orang perseorangan, agensi kerajaan mahupun syarikat korporat boleh menyalurkan bantuan kewangan ke dalam tabung ini.

Kami juga mengharapkan alumni KPTM yang ramai di luar sana untuk turut berbuat demikian sebagai salah satu cara berbakti kepada kolej. Sumber kewangan ini secara tidak langsung akan memanfaatkan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang kurang berupaya dari segi kewangan atau ditimpa musibah sehingga menjejaskan pembelajaran untuk meneruskan pengajian.

PELAJAR KPTM turut dibekalkan dengan ilmu pengetahuan keusahawanan dalam menyediakan mereka ke alam pekerjaan sebenar.

Bagaimana Datuk melihat dengan menyambung pengajian di KPTM, ia akan menjadi batu loncatan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi?

Masyarakat di luar sana perlu buang tanggapan kononnya belajar di KPTM tidak boleh pergi jauh kerana pihak kolej menyediakan dana khas daripada Mara untuk memberi peluang kepada pelajar melan­jutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara. Dana di bawah Skim Pelajar Cemerlang ini memberi peluang kepada pelajar yang sebelum ini tercicir dalam pelajaran untuk menyam­bung penga­jian ke luar ne­ga­ra dengan tajaan sepenuhnya jika boleh mencapai purata nilai gred kumulatif 3.75 setiap semester.

Kita juga sudah ada kolej universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur yang memberi peluang kepada pelajar di peringkat diploma untuk melan­jutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda selain turut menyediakan pengajian lebih tinggi di peringkat ijazah sarjana dan tidak lama lagi program ijazah kedoktoran.

Bagaimana pula Datuk melihat kursus-kursus yang ditawarkan KPTM dapat membolehkan para pelajar berdaya saing di alam pekerjaan?

Semasa mengikuti pengajian, ada beberapa pendekatan untuk meningkatkan kompetensi dan minat mereka dalam bidang keusahawanan antaranya dengan menyediakan Laman Usahawan iaitu pelajar boleh memulakan perniagaan di situ selain mengga­lakkan mereka menceburi bisnes online.

KPTM juga telah menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membangunkan kurikulum E-Usahawan untuk diterapkan ke dalam semua program pengajian di KPTM. Jadi, apabila pelajar masuk ke alam pekerjaan, mereka sudah ada ilmu perniagaan dan bersedia menghadapi dunia perniagaan sebenar. Sama ada mereka menjadi usahawan atau tidak, kami yakin dengan kemahiran itu, ia akan menjadikan graduan KPTM mampu berdaya saing untuk memasuki pasaran pekerjaan.

UJAR Sabarudin, KPTM menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada pelajar antaranya Tabung Wakaf yang akan dilancarkan Julan depan.

Apakah antara usaha sama yang diadakan KPTM untuk memastikan kebolehpasaran graduan?

Sekarang KPTM sedang me­ngenal pasti syarikat-syarikat yang ingin berkolaborasi dengan kolej dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui Program Pengembangan Bakat (Talent Development Program).

Melalui program ini pihak industri berpeluang untuk melatih pelajar dalam alam pekerjaan sebenar sepanjang tempoh pengajian mereka. Mengambil contoh, pihak syarikat boleh kenal pasti pelajar yang menepati kriteria se­awal tahun pertama pengajian dan mengambil pelajar ini setiap cuti semester ke syarikat ma­sing-masing untuk mendedahkan mereka kepada alam pekerjaan.

Misalnya, sepanjang tempoh ber­kenaan, pelajar tersebut me­nunjukkan prestasi memuaskan selain menepati kriteria yang dicari sebagai pekerja, pihak syarikat boleh terus menyerap individu itu menjadi kakitangan selepas mereka menamatkan pengajian. Peluang sebegini memberi kelebihan kepada pelajar untuk menonjolkan kebolehan serta kemahiran yang dimiliki. Syarikat pada masa sama memperoleh manfaat dari segi pengurusan kakitangan kerana mendapat individu berbakat yang berkualiti.

Di samping itu, secara formalnya, setiap program yang ditawarkan ada latihan industri untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri di alam pekerjaan dengan lebih cepat.

Selain itu, KPTM turut menandantangani memorandum persefahaman dengan JobsMalaysia sebagai usaha untuk membantu pelajar mendapat penempatan bersesuaian dengan bidang masing-masing. Dalam hal ini, JobsMalaysia akan membantu memberi perkhidmatan penjodohan pekerjaan secara percuma kepada pelajar dengan syarikat yang berkolaborasi de­ngan Jobs­Malaysia berdasarkan kelayakan serta kemahiran mereka meliputi pelbagai bidang terma­suk­ perakaunan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengurusan perniagaan.

Akhir sekali, apakah harapan KPTM demi membawa pertumbuhan berterusan pendidikan di masa hadapan?

KPTM berbangga dengan sejarah dan asas penubuhan kukuh yang telah membawa kepada pertumbuhan berterusan pendidikan pada masa hadapan. Kini, kami telah dapat memberi peluang kepada ramai individu untuk mening­katkan pengetahuan dan kemahiran menerusi program berkualiti dengan yuran berpatutan. Telah menjadi komitmen kami untuk memberikan akses pendidikan yang mudah di samping mengamalkan pendekatan holistik dalam pendidikan dan latihan bagi menjamin para pelajar memperoleh kerjaya yang baik.

Sumber : Kosmo

KPTM TERUS UNGGUL LAHIRKAN GRADUAN BERKUALITI

Penerima Anugerah Platinum Nur Fatin Hanani tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenang-kenangan bersama Menteri KKLW Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (berjubah) sempena Konvokesyen KPTM ke 33. – Foto oleh Ashraf BTKM

PUTRAJAYA, 2 November – Seramai 7,357 graduan dari pelbagai bidang menerima Ijazah, Diploma dan Sijil sempena Majlis Konvokesyen Kolej Poly-Tech MARA kali ke-33 yang berlangsung selama empat (4) hari bertempat di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dengan penubuhan KPTM serta gugusan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) yang lain seperti MRSM, IKM, KKTM, KPM, GMI dan UniKL membolehkan golongan Bumiputera sama ada dari bandar mahu pun luar bandar untuk mengecap peluang pendidikan yang terbaik dalam pelbagai bidang.

Merealisasikan hasrat ‘Membandarkan Luar Bandar’, KPTM turut mengambil langkah proaktif dengan mendekati masyarakat di kawasan ini melalui penerangan kursus-kursus yang ditawarkan seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing, seimbang dan mampu merancakkan lagi ekonomi setempat melalui ilmu dan kemahiran yang mereka miliki.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 361 graduan menerima Anugerah Kecemerlangan Pelajar meliputi kategori Anugerah Platinum Ijazah (seorang), Anugerah Platinum Diploma (seorang), Anugerah Pingat Emas (25 orang), Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (328 orang), Anugerah Kecemerlangan Projek Tahun Akhir Terbaik Conventry University United Kingdom (Best Project) (5 orang) dan Anugerah Kecemerlangan Pelajar Terbaik, Dublin Business School Ireland (seorang).

Sehingga kini, KPTM telah berjaya melahirkan seramai 39,843 graduan di peringkat sarjana muda, diploma, sijil profesional dan sijil sekali gus menyumbang kepada kelahiran tenaga kerja profesional dan separa profesional yang diperlukan oleh negara.

Antara kursus yang ditawarkan oleh KPTM adalah Rekabentuk Grafik Berkomputer, Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sains Komputer, Perakaunan dan Kewangan, Kejururawatan, Multimedia, Kejuruteraan Awam (Keselamatan Pembinaan) dan Kejuruteraan Elektrik (Perindustrian Elektronik).

TAHNIAH KEPADA PARA GRADUAN.

 

sumber : ewarta MARA

 

permohonan KPTM : www.permohonankptm.com