Kolej Poly-Tech MARA di landasan tepat lahir graduan berkemahiran tinggi

, , Leave a comment

PUTRAJAYA: Keupayaan lebih 72 peratus graduan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian masing-masing, membuktikan institusi pengajian itu berada pada landasan tepat melahirkan graduan berkemahiran tinggi.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata keupayaan itu membuktikan graduan Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) mempunyai kebolehpasaran yang cukup tinggi dalam industri.

“TVET bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya semakin mendapat pengiktirafan masyarakat dunia kerana kepentingannya terhadap pembangunan ekonomi negara.

“Mereka yang dilatih KPTM, mempunyai kepakaran yang bukan sedikit, disebabkan itu kebanyakan daripada mereka sudah ditawarkan bekerja sebelum majlis konvokesyen lagi, malah ada yang sudah ditawarkan bekerja ketika mengikuti latihan industri.

“Ini satu kelainan dan kebanggaan. Apabila saya bertanya kepada mereka (graduan) ketika sesi penyerahan skrol pada majlis konvokesyen ini, kebanyakannya sudah bekerja atau mendapat tawaran kerja,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Seramai 4,528 graduan menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing pada Majlis Konvokesyen KPTM kali ke-34 yang berlangsung hari ini dan esok.

Turut menerima Diploma Pengurusan Perniagaan pada majlis konvokesyen kali ini adalah anak kepada Pengarang Eksekutif Berita, Rencana dan Digital BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman iaitu Nur Diyana Rozaini Ahmad Zaini, 21.

KPTM kini mempunyai lapan kampus dan satu Kolej Universiti iaitu institusi pendidikan tinggi milik penuh MARA dan bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Awang Adek berkata, setakat ini KPTM sudah melahirkan 45,409 graduan dan berdasarkan Laporan Sistem Pengesanan Graduan KPTM 2015/2016, 84.3 peratus daripada mereka berjaya menempatkan diri dalam sektor pekerjaan.

Ketika berucap di majlis itu, Awang Adek mengingatkan graduan supaya sentiasa berusaha, rajin dan tidak putus asa dalam mengecap kejayaan dalam hidup.

“Selain itu, sentiasa hargai dan ingat usaha dan sumbangan pelbagai pihak yang menyumbang kepada kejayaan anda hari ini seperti ibu bapa, guru, pensyarah, komuniti dan juga kerajaan.

“Apabila berada di hadapan, jangan lupa yang di belakang, bila berada di atas, jangan lupa yang di bawah,” katanya.

Permohonan KPTM secara online di www.permohonankptm.com

Sumber : http://www.bhplus.com.my/berita/pendidikan/2017/10/343792/kptm-di-landasan-tepat-lahir-graduan-berkemahiran-tinggi

 

Leave a Reply