KPTM jamin kebolehpasaran graduan

, , Leave a comment

PADA masa sekarang, peluang untuk melanjutkan pelajaran terbuka luas dengan kewujudan pelbagai pusat pengajian tinggi termasuk universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang diasaskan sebagai sebuah IPTS pada September 2003 antara lain menawarkan program pendidikan bagi membantu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk meneruskan pe­ngajian ke peringkat lebih tinggi.

Penubuhan KPTM sekali gus membuka ruang kepada pelajar-pelajar berkenaan untuk berjaya dalam bidang akademik dan seterusnya melahirkan modal insan yang berkualiti kepada negara.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini, ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, NOR IDAYU BOSRO bersama Ketua Pegawai Eksekutif KPTM, Prof. Datuk Dr. Sabarudin Mohd. di ibu pejabat Kolej Poly-Tech Mara, baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh Datuk jelaskan secara ringkas mengenai latar belakang KPTM dan golongan pelajar yang menjadi sasaran?

SABARUDIN: KPTM pada asalnya dikenali sebagai Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) dan diasaskan sebagai sebuah IPTS di bawah Akta Ins­titusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) pada tahun 2003. KPTM di­uruskan oleh Kolej Poly-Tech Mara Sdn. Bhd., sebuah anak syarikat milik penuh Majlis Amanah Rakyat (Mara). Sejak penubuhannya, KPTM telah melahirkan lebih 34,000 orang graduan dan kini memiliki seramai 16,000 pelajar di sembilan kampusnya termasuk di Kuala Lumpur, Kuantan, Pahang; Kota Bharu, Kelantan dan Semporna, Sabah.

Kumpulan sasaran KPTM sememangnya pelajar yang majori­tinya terdiri daripada lepasan SPM dan STPM untuk melanjutkan pengajian dan mendapat tempat di institut pendi­dikan tinggi. Selain itu, kita juga menyediakan laluan kepada pelajar yang memiliki sijil kemahiran daripada institusi pengajian yang diiktiraf untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat le­bih tinggi. KPTM turut menyasarkan go­longan pelajar luar bandar terutamanya daripada keluarga kumpulan B40 yang berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan.

Bagaimana KPTM menongkah arus untuk menjadi antara IPTS Bumiputera terbesar di Malaysia? Apakah pembaharuan dan nilai tambah yang diketengahkan KPTM demi kelangsungan kejayaan ini?

KPTM sentiasa menyokong aspirasi pendidikan negara selain proaktif menyertai program pendidikan berpaksikan saranan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar melestarikan pendi­dikan di setiap pelosok negara dan memudahkan capaian masyarakat terutama di luar bandar. Dari segi nilai tambah, KPTM menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada pelajar antaranya Tabung Wakaf yang akan dilancarkan selewat-lewatnya bulan Julai depan sebagai saluran untuk orang ramai menyampaikan sumbangan bagi membantu pelajar kolej ini yang tidak berkemam­puan untuk meneruskan pengajian.

Ketika ini, kami masih me­nunggu kelulusan Majlis Agama Islam Wilayah Perseku­tuan untuk merealisasikan inisiatif tersebut. Sebagai permulaan, sejumlah geran suntikan dalam bentuk sumbangan daripada syarikat akan mengisi tabung ini dan bagi memastikan kelangsungannya, orang ramai sama ada kakitangan, orang perseorangan, agensi kerajaan mahupun syarikat korporat boleh menyalurkan bantuan kewangan ke dalam tabung ini.

Kami juga mengharapkan alumni KPTM yang ramai di luar sana untuk turut berbuat demikian sebagai salah satu cara berbakti kepada kolej. Sumber kewangan ini secara tidak langsung akan memanfaatkan pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang kurang berupaya dari segi kewangan atau ditimpa musibah sehingga menjejaskan pembelajaran untuk meneruskan pengajian.

PELAJAR KPTM turut dibekalkan dengan ilmu pengetahuan keusahawanan dalam menyediakan mereka ke alam pekerjaan sebenar.

Bagaimana Datuk melihat dengan menyambung pengajian di KPTM, ia akan menjadi batu loncatan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi?

Masyarakat di luar sana perlu buang tanggapan kononnya belajar di KPTM tidak boleh pergi jauh kerana pihak kolej menyediakan dana khas daripada Mara untuk memberi peluang kepada pelajar melan­jutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara. Dana di bawah Skim Pelajar Cemerlang ini memberi peluang kepada pelajar yang sebelum ini tercicir dalam pelajaran untuk menyam­bung penga­jian ke luar ne­ga­ra dengan tajaan sepenuhnya jika boleh mencapai purata nilai gred kumulatif 3.75 setiap semester.

Kita juga sudah ada kolej universiti yang dikenali sebagai Kolej Universiti Poly-Tech Mara (KUPTM) Kuala Lumpur yang memberi peluang kepada pelajar di peringkat diploma untuk melan­jutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda selain turut menyediakan pengajian lebih tinggi di peringkat ijazah sarjana dan tidak lama lagi program ijazah kedoktoran.

Bagaimana pula Datuk melihat kursus-kursus yang ditawarkan KPTM dapat membolehkan para pelajar berdaya saing di alam pekerjaan?

Semasa mengikuti pengajian, ada beberapa pendekatan untuk meningkatkan kompetensi dan minat mereka dalam bidang keusahawanan antaranya dengan menyediakan Laman Usahawan iaitu pelajar boleh memulakan perniagaan di situ selain mengga­lakkan mereka menceburi bisnes online.

KPTM juga telah menjalin kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membangunkan kurikulum E-Usahawan untuk diterapkan ke dalam semua program pengajian di KPTM. Jadi, apabila pelajar masuk ke alam pekerjaan, mereka sudah ada ilmu perniagaan dan bersedia menghadapi dunia perniagaan sebenar. Sama ada mereka menjadi usahawan atau tidak, kami yakin dengan kemahiran itu, ia akan menjadikan graduan KPTM mampu berdaya saing untuk memasuki pasaran pekerjaan.

UJAR Sabarudin, KPTM menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada pelajar antaranya Tabung Wakaf yang akan dilancarkan Julan depan.

Apakah antara usaha sama yang diadakan KPTM untuk memastikan kebolehpasaran graduan?

Sekarang KPTM sedang me­ngenal pasti syarikat-syarikat yang ingin berkolaborasi dengan kolej dalam proses pengajaran dan pembelajaran melalui Program Pengembangan Bakat (Talent Development Program).

Melalui program ini pihak industri berpeluang untuk melatih pelajar dalam alam pekerjaan sebenar sepanjang tempoh pengajian mereka. Mengambil contoh, pihak syarikat boleh kenal pasti pelajar yang menepati kriteria se­awal tahun pertama pengajian dan mengambil pelajar ini setiap cuti semester ke syarikat ma­sing-masing untuk mendedahkan mereka kepada alam pekerjaan.

Misalnya, sepanjang tempoh ber­kenaan, pelajar tersebut me­nunjukkan prestasi memuaskan selain menepati kriteria yang dicari sebagai pekerja, pihak syarikat boleh terus menyerap individu itu menjadi kakitangan selepas mereka menamatkan pengajian. Peluang sebegini memberi kelebihan kepada pelajar untuk menonjolkan kebolehan serta kemahiran yang dimiliki. Syarikat pada masa sama memperoleh manfaat dari segi pengurusan kakitangan kerana mendapat individu berbakat yang berkualiti.

Di samping itu, secara formalnya, setiap program yang ditawarkan ada latihan industri untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar bagi memastikan mereka boleh menyesuaikan diri di alam pekerjaan dengan lebih cepat.

Selain itu, KPTM turut menandantangani memorandum persefahaman dengan JobsMalaysia sebagai usaha untuk membantu pelajar mendapat penempatan bersesuaian dengan bidang masing-masing. Dalam hal ini, JobsMalaysia akan membantu memberi perkhidmatan penjodohan pekerjaan secara percuma kepada pelajar dengan syarikat yang berkolaborasi de­ngan Jobs­Malaysia berdasarkan kelayakan serta kemahiran mereka meliputi pelbagai bidang terma­suk­ perakaunan, kejuruteraan, teknologi maklumat dan pengurusan perniagaan.

Akhir sekali, apakah harapan KPTM demi membawa pertumbuhan berterusan pendidikan di masa hadapan?

KPTM berbangga dengan sejarah dan asas penubuhan kukuh yang telah membawa kepada pertumbuhan berterusan pendidikan pada masa hadapan. Kini, kami telah dapat memberi peluang kepada ramai individu untuk mening­katkan pengetahuan dan kemahiran menerusi program berkualiti dengan yuran berpatutan. Telah menjadi komitmen kami untuk memberikan akses pendidikan yang mudah di samping mengamalkan pendekatan holistik dalam pendidikan dan latihan bagi menjamin para pelajar memperoleh kerjaya yang baik.

Sumber : Kosmo

 

Leave a Reply