KPTM sasar 35 peratus penuntut capai CGPA 3.5

, , Leave a comment

JERANTUT 21 Mac – Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menyasarkan sebanyak 35 peratus penuntutnya di seluruh negara mendapat keputusan cemerlang de­ngan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.5 pada peringkat pengajian diploma.

Pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris berkata, sasaran itu antara strategi KPTM untuk mening­katkan taraf akademik kolej berkenaan bagi bersaing dengan institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

Katanya, langkah itu juga perangsang kepada tenaga pe­ngajar akademik di sembilan buah KPTM yang beroperasi di beberapa buah negeri untuk mengambil langkah yang drastik supaya penuntutnya memperoleh CGPA 3.5.

“Sasaran pencapaian CGPA 3.5 ini antara usaha penambahbaikan bidang akademik yang merupakan misi pengurusan KPTM dalam tempoh dua tahun ini.

“Langkah secara berperingkat ini juga untuk menaikkan imej KPTM sekali gus melahirkan ramai lepasan kolej yang berjaya dan mendapat kerja,” katanya kepada pemberita selepas sesi percambahan fikiran antara pengarah kolej dan mesyuarat pengurusan KPTM di Taman Negara Kuala Tahan, di sini kelmarin.

Sempena program itu, pihak pengurusan KPTM melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program KPTM Sehati Sejiwa bersama 69 keluarga miskin di Kampung Pagi, Hulu Tembeling dan turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai.

Ahmad Nazlan berkata, sasaran itu antara perkara yang perlu dipikul oleh semua pengarah cawangan dan pihak pengurusan semasa sesi percambahan fikiran dan merangka hala tuju akademik KPTM menjelang 2020.

“Komitmen semua pengarah dan pihak pengurusan diperlukan untuk mengubah landskap akademik serta berupaya melahirkan ramai tenaga profesional dalam bidang tertentu,” katanya.

Katanya, pihak pengurusan KPTM juga sudah mengambil langkah yang tepat iaitu memfokuskan usaha berjimat cermat dalam semua bidang pe­ngurusan dan pada masa sama menitikberatkan hal kebajikan penuntut.

“Perbelanjaan yang kurang sesuai perlu dipotong termasuk mengurangkan belanja perjalanan menggunakan kapal terbang dan hospitaliti dalam kalangan warga KPTM ketika mengikuti mesyuarat, seminar dan sebagainya.

“KPTM bagaimanapun tetap meneruskan pembukaan kampus baharu di beberapa negeri iaitu kampus KPTM di Bera (Pahang), Semporna (Sabah), Batu Pahat (Johor) manakala Jerantut (Pahang) masih dalam perancangan,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kptm-sasar-35-peratus-penuntut-capai-cgpa-3-5-1.203139#ixzz4kiE7C4Jq

 

 

Leave a Reply