Pelajar KUPTMKL kedua terbaik CAT Paper World Prize

, , Leave a comment

AHMAD NAZLAN IDRIS (kanan) menyampaikan anugerah kepada Siti Nur Nadhirah Rusli dalam majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 10 Mac – Seorang pelajar Kolej Universiti Poly-Tech Mara Kuala Lumpur (KUPTMKL) menerima anugerah kedua terbaik dunia iaitu 2nd Top Scorer CAT Paper World Prize Winner menerusi peperiksaan Asasi Dalam Urus Niaga Perniagaan sesi Disember 2015.
Pelajar yang mengikuti jurusan Certified Accounting Technician (CAT) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di KUPTMKL itu, Siti Nur Nadhirah Rusli, 19, menekankan aspek disiplin sebagai faktor utama kejayaannya.
“Bagi saya, mengulang kaji pelajaran pada saat akhir itu merupakan suatu perkara biasa. Bagaimanapun, sebarang tugasan yang diberikan oleh pensyarah saya pasti akan disiapkan termasuk menghadiri setiap kelas mengikut jadual.
“Ditambah pula dengan sistem pembelajaran yang sistematik dan memberi tumpuan dalam kelas adalah sangat penting, selain memahami perkara yang disampaikan oleh pensyarah supaya mendapat teknik menjawab soalan dengan tepat,” katanya.
Siti Nur Nadhirah ditemui selepas majlis Pelancaran Tabung Kebajikan Mahasiswa KUPTMKL yang dirasmikan oleh Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Ahmad Nazlan Idris di sini hari ini.
Sementara itu, anak kelahiran Besut, Terengganu tersebut lebih cenderung untuk mendalami ilmu perakaunan kerana latar belakang keluarganya yang rata-rata daripada mereka terlibat dalam bidang tersebut, termasuk bapanya yang bekerja di sebuah institusi kewa­ngan.
“Saya juga bercita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah dan berharap dapat membuka sebuah firma persendirian pada suatu hari nanti bagi mencapai matlamat yang diimpikan itu,” jelasnya.
Menurutnya, dia berhasrat untuk menyambung pengajian di luar negara dan harus berusaha lebih gigih lagi kerana hanya beberapa universiti terkemuka sahaja yang menawarkan jurusan ACCA.
“Setakat ini saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuk ke universiti tertentu, tetapi meletakkan harapan supaya dapat menyambung pengajian ke luar negara kerana pengalaman itu amat bermakna dan segala-galanya bagi saya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahmad Nazlan berkata, kejayaan Siti Nur Nadhirah itu sekali lagi membuktikan kemampuan KPTM dalam melahirkan graduan cemerlang setanding dengan pelajar antarabangsa.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pelajar-kuptmkl-kedua-terbaik-cat-paper-world-prize-1.199379

 

Leave a Reply